ISTANA BUKIT TANAH

 

Berdekatan dengan Pi1M Kg.Terbok terdapat beberapa kawasan pelancongan yang boleh anda lawati. Antaranya ialah Istana Bukit Tanah, Rumah Api Isyarat, Pantai Seri Tujoh dan sebagainya.

Istana Bukit Tanah merupakan salah sebuah istana yang terdapat di negeri Kelantan dan merupakan satu-satunya istana yang terdapat dalam Jajahan Tumpat. Difahamkan, istana ini dibina sebelum zaman pemerintahan Jepun lagi iaitu sekitar tahun 1910 iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhammad ke-4.

Pada amnya, tapak istana ini agak rendah dan dipercayai telah ditimbun dengan tanah supaya kelihatan lebih tinggi. Memandangkan kedudukannya yang tinggi seolah-olah sebuah bukit, maka istana ini telah terkenal dengan jolokan Istana Bukit Tanah. Keluasan tapak istana ini hampir mencecah 3 ekar dan kawasannya dikelilingi oleh pokok-pokok besar yang mana ada antara pokok-pokok tersebut telah mencecah usia lebih dari 30 tahun.

Dahulunya, Istana Bukit Tanah terkenal dengan kewujudan sebatang pokok iaitu pokok kelumpang. Pokok ini dikatakan sangat tinggi sehingga boleh dilihat dari pesisiran pantai Laut Cina Selatan. Walau bagaimanapun, pokok ini telah tumbang dimakan usia..

 

RUMAH API ISYARAT (TUMPAT)

 

Bandar Tumpat dahulunya merupakan sebuah bandar pelabuhan yang masyhur sekitar tahun 1900. Pihak berkuasa pelabuhan (Syahbandar) telah mendirikan rumah api di kawasan-kawasan yang strategik untuk kemudahan para pedagang atau pelayar keluar masuk ke pelabuhan khususnya pada waktu malam.

Salah satu rumah api yang terawal yang dapat dikenal pasti ialah rumah api yang dibina ditepi pantai bersebelahan dengan jeti. Walau bagaimanapun, rumah api tersebut telah tiada lagi dan tempat tersebut kini dikenali dengan nama Padang Mahkota berdekatan dengan kawasan rumah Ketua Jajahan Tumpat.

Rumah api ini dibina dengan kayu setinggi lebih kurang 30 kaki bentuknya, empat persegi dan meruncing ke atas. Di bahagian atasnya dibuat lantai untuk menempatkan lampu..

Sebuah lagi rumah api yang ditemui ialah yang kini terletak dalam kawasan stor K.T.M. Rumah api ini dibina daripada batu-bata, berbentuk bulat dan tirus ke atas. Ukuran lilit bahagian bawahnya ialah 37' 9" dan tingginya 70 kaki. Tangga dibina dibahagian dalam rumah api ini bagi membolehkan orang naik ke atas untuk memasang dan memadamkan lampu.

Mengikut cerita lisan penduduk tempatan, rumah api ini dibina sebelum Perang Dunia Kedua oleh pasukan marin bagi mengawasi perairan Tumpat.

Semasa Peperangan Dunia Kedua (1941-1945), negeri Kelantan yang di bawah pentadbiran tentera Jepun telah menggunakan rumah api ini untuk mengawasi kawasan perairan dari ancaman musuh dan memudahkan kapal-kapal tenteranya membuat rondaan di laut.

Kini, dengan kemajuan teknologi yang canggih dalam bidang pelayaran, rumah api tidak lagi digunakan. Ia hanya tinggal menjadi bahan sejarah untuk tontonan umum kini dan akan datang.

 

PANTAI SRI TUJUH 

 

MUNGKIN ramai tidak tahu Pantai Sri Tujoh di Jajahan Tumpat, Kelantan terhasil daripada pembentukan tujuh teluk. Keindahan semula jadinya memberikan ketenangan kepada sesiapa yang berkunjung.Duduk bersantai melihat pemandangan pantai ini juga mampu melenyapkan bebanan kerja yang bersarang difikiran. Tambahan pula, apabila dapat memerhati aktiviti nelayan menebar jala dari tepi pantai.

Sumber pendapatan nelayan ini tidak terhad kepada tangkapan ikan, malah mereka menjalankan penternakan ikan dalam sangkar dan turut memproses ikan masin.Keindahan pantai ini sudah lama dikenali pelancong asing menerusi penganjuran pertandingan wau peringkat antarabangsa tidak lama dulu.

Tarikan utamanya bagaimanapun terletak pada fenomena tujuh teluk yang tidak boleh didapati di tempat lain. Daripada sebuah pantai yang sebelum ini pernah diancam hakisan teruk, pemandangan semula jadinya berubah menjadi tarikan kepada pengunjung dari luar.

Pantai Sri Tujoh yang asalnya terbentuk daripada tujuh teluk/lagun. Pesisir pantai yang cantik dan tenang ini sangat sesuai untuk dijadikan kawasan rekreasi seisi keluarga, rombongan dan tempat kursus. Ia dibangunkan oleh pihak Majlis Daerah Tumpat dengan prasarana seperti chalet, asrama, taman permainan, tandas awam, kedai makan, restoran, dewan serbaguna dan masjid.

Pantai ini berada berhampiran dengan sempadan Thailand dan Kelantan di Kampung Tujoh yang terletak di Tumpat, 7 kilometer daripada Kota Bharu. Untuk ke sana, pengunjung bolehl menaiki bas yang bernombor 43 dari terminal utama. Sepanjang perjalanan, para pengunjung dapat menghayati pemandangan yang menarik.